TEMPAHAN BANNER & STREAMER

Tempahan Trophy & Medal

Wednesday, March 16, 2011

Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Padang Terap


Amanah Ikhtiar Malaysia 
Cawangan Padang Terap
No. 5, Tingkat 2, Kompleks Pekan Selasa
06300 Kuala Nerang, Kedah Darul Aman
Tel : 04 790 1100 / 01   Faks : 04 790 1101
Web : http://www.aim.gov.my

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah ditubuhkan pada 17 September 1987 sebagai Badan Amanah Persendirian Berdaftar. Penubuhan AIM adalah rentetan daripada kejayaan Projek Ikhtiar yang merupakan satu projek penyelidikan bertindak dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia dari tahun 1986 hingga 1987 di Barat Laut Selangor. Penyelidikan bertindak ini yang diketuai oleh Profesor David S. Gibbons dan Profesor Sukor Kasim adalah untuk menguji Pendekatan ini menawarkan skim pembiayaan kredit mikro berpenyeliaan rapi kepada golongan miskin untuk mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki sebagai usaha menambahkan pendapatan keluarga.

Sehingga kini, dapat dilihat bahawa projek AIM dalam membantu golongan miskin untuk meningkatkan taraf hidup mereka adalah sangat berjaya dan sungguh memberangsangkan. Bagi melihat punca kejayaan ini kita haruslah meneliti pendekatan yang digunakan oleh AIM dan juga kelebihan-kelebihan lain yang dimiliki oleh AIM.

Kejayaan AIM adalah kerana konsep yang diamalkan oleh AIM sendiri iaitu memberikan pinjaman tanpa cagaran, tanpa penjamin mahupun tindakan undang-undang dalam mendapatkan semula wang pinjaman.

Sikap keterbukaan AIM dalam memberikan pinjaman ini menyebabkan AIM mudah menjangkau dan mendapatkan sahabat dalam menyertai AIM dan ini terbukti apabila sehingga pertengahan 2004, seramai 94000 telah menyertai AIM.

Sebagai Badan Amanah Persendirian yang berdaftar, AIM ditadbirurus oleh Lembaga Pemegang Amanah yang mana keahliannya terdiri daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, wakil dari Kerajaan Negeri Selangor dan juga mereka yang dilantik dalam kapasiti peribadi.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada pelbagai pihak ini memberikan jaminan yang segala urusan AIM adalah adil dan tiada penyelewengan memandangkan segala projek AIM diawasi oleh pelbagai pihak dan dengan ini memberikan keyakinan kepada orang ramai dalam menyertai AIM.

Dalam menjalankan projeknya, AIM menempatkan antara tujuh hingga sembilan Pembantu Amanah di setiap cawangan dengan bidang tugas mereka mengesan dan mencari isirumah miskin. Mereka melakukan tugas ini dengan mengendalikan ujian kelayakan, menyediakan pelan peningkatan kesejahteraan hidup isirumah dan akhirnya memperkukuhkan ekonomi golongan miskin ini dengan modal Ikhtiar yang diberikan serta pengurusan bersama yang dijalankan.

Mesyuarat Pusat yang diwajibkan kepada para Sahabat juga menjadi asas kepada kejayaan AIM, ini adalah kerana dengan mesyuarat mingguan ini AIM dapat menilai, memantau dan membimbing para Sahabat yang akhirnya menjamin kejayaan kepada semua sahabat.

Kejayaan AIM dalam menyalurkan modal kepada golongan miskin juga adalah kerana sumbangan yang banyak yang diterima oleh AIM dan ini mengelakkan AIM dari dibelenggu masalah untuk mendapatkan dana modal pusingan. Sokongan Kerajaan Malaysia menyalurkan dana sebagai modal pembiayaan untuk dana AIM.

Selain itu, kejayaan AIM juga adalah disebabkan para sahabat sendiri, terutamanya kaum wanita. Ini kerana daripada kajian yang dijalankan didapati golongan wanita miskin ini adalah lebih bertanggungjawab, meningkatkan kesejahteraan keluarga terutamanya terhadap anak-anak mereka dan pandai mengambil peluang yang ada bagi memperbaiki taraf hidup diri sendiri dan keluarga. Golongan wanita miskin ini juga didapati sanggup berkorban untuk masa depan keluarga yang lebih cerah. Dengan motivasi yang tinggi inilah telah mendorong para sahabat ini untuk berusaha dengan gigih di samping mendapat bimbingan daripada AIM dan akhirnya menjamin kejayaan AIM.

Oleh itu secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa kejayaan AIM dan berkembangnya projek AIM adalah kerana objektif AIM itu sendiri dan hal ini dibantu pula dengan sikap keterbukaan AIM kepada para Sahabat dalam melaksanakan programnya. Jumlah jangkauan yang luas serta sikap para sahabat yang bermotivasi untuk mengubah cara hidup mereka juga antara penyumbang kepada perkembangan AIM.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...