TEMPAHAN BANNER & STREAMER

Tempahan Trophy & Medal

Showing posts with label Sultan Kedah. Show all posts
Showing posts with label Sultan Kedah. Show all posts

Monday, September 11, 2017

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Mangkat

Merafak Sembah Takziah kepada Kerabat Diraja Kedah atas Kemangkatan KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim. Sebagai Rakyat Negeri Kedah kami berasa sangat sedih dan dukacita atas kemangkatan Sultan Kedah yang sangat kami sanjungi dan kasihi.

Semoga roh Almarhum KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim yang dikasihi oleh sekalian rakyat ditempatkan dikalangan pemerintah (ulil amri) yang adil serta orang-orang yang beriman dan beramal soleh... Amin

Monday, December 12, 2016

Selamat Pulang ke Negeri Kedah Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah


12 Disimber 2016 bersamaan 12 Rabiul Awwal 1438H, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah berangkat pulang ke Negeri Kedah sempena tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Seri Paduka berdua diberi sambutan meriah penuh istiadat diraja dengan kehadiran tetamu kehormat dan lebih 15,000 rakyat jelata.

Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini tepat 11.45 pagi ini. Sebelum itu pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 pagi, diiringi tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM.

Ketibaan baginda berdua diiringi Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku menteri pengiring dan isteri Datin Seri Noraini Abdullah, serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Mahmud.


Baginda berdua kemudiannya disambut Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, serta anggota jemaah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudiannya berangkat ke Pentas Diraja bersama-sama Tunku Sallehuddin yang juga Tunku Temenggong Kedah, sebelum kawalan kehormat mempersembahkan 'Hormat Diraja'.

Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan, disusuli 21 das tembakan meriam oleh Rejimen ke-tiga Artileri Diraja sebagai tanda kepulangan baginda berdua, sebelum bendera Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Tuanku Abdul Halim turut berkenan memeriksa barisan Kawalan Kehormat Utama dari Batalion ke-6, Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Sultan Abdul Halim, Jitra yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota.

Sohibus Samahah Mufti Kedah Datuk Syeikh Baderuddin Ahmad kemudiannya membaca doa bagi memohon keberkatan majlis.

Sekali lagi, kawalan kehormat mempersembahkan 'Hormat DiRaja' dan selepas itu, lagu Negaraku dimainkan, baginda berdua berangkat turun dari pentas diraja dan bersalaman dengan para tetamu.

Baginda berdua yang kemudiannya diarak menaiki kereta khas dari LTSAH ke Istana Anak Bukit turut berkenan melambai kepada rakyat jelata yang menunggu di sepanjang jalan sejauh 4.7 kilometer dari Kepala Batas hingga ke Anak Bukit.

Ketibaan baginda berdua di Istana Anak Bukit turut disambut barisan Dato' Bergelar Negeri Kedah dan diiringi paluan nobat dari pintu gerbang istana sehingga ke tempat letak kereta.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian berkenan menyampaikan cenderahati kepada menteri-menteri dan kakitangan pengiring dari Kuala Lumpur sebelum berangkat ke majlis santapan diraja di Istana Anak Bukit yang dihadiri kira-kira 200 tetamu kehormat.

Tuanku Abdul Halim mencatat sejarah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 Sept, 1970 sehingga 20 Sept, 1975 dan kali kedua pada 13 Dis, 2011 hingga hari ini.

Baginda akan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

Wednesday, June 4, 2014

TUNKU SALLEHUDDIN DIISYTIHAR PENGERUSI JEMAAH PEMANGKU SULTAN KEDAH

ALOR SETAR, 4 Jun: Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah diisytihar sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat 21 Mei lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pelantikan itu telah diperkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan ia berkuat kuasa bermula 21 Mei 2014.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya mempersembahkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong di atas pelantikan ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Almarhum Tunku Annuar, 75, yang merupakan adinda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak, pukul 12.20 tengah malam 21 Mei lalu.

Pada Disember 2011, Almarhum bersama adindanya, Tunku Sallehuddin dan Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah serta anakanda Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dilantik menganggotai Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi memastikan pemerintahan negeri berjalan dengan sempurna selepas keberangkatan Tuanku Abdul Halim ke Istana Negara.

Sultan Abdul Halim berangkat ke Istana Negara bagi melaksanakan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14 selama lima tahun.-- BERNAMA

Thursday, January 17, 2013

Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah ke-85



 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,


Patik Merafak Sembah Setinggi-tinggi Tahniah Sempena Hari Keputeraan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mua’dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

Pada hari Ahad, 15 Januari 2012, bersamaan 21 Safar 1433 H


Ampun Tuanku,

Adalah patik dan sekalian rakyat Negeri Kedah dengan segala hormat dan takzimnya ingin menyembahkan ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sempena Ulang Tahun Keputeraan yang ke- 85 . Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa diberkati Allah Subhanahu Wata'ala dan dilanjutkan usia serta beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sekianlah sahaja persembahan ucapan patik dan disudahi dengan penuh hormat dan takzimnya.

Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

Sunday, January 16, 2011

Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah


 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Ampun Tuanku,

Adalah patik dengan segala hormat dan takzimnya ingin menyembahkan ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sempena Ulang Tahun Keputeraan yang ke- 83 . Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa diberkati Allah Subhanahu Wata'ala dan dilanjutkan usia serta beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sekianlah sahaja persembahan ucapan patik dan disudahi dengan penuh hormat dan takzimnya.

Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...