Saturday, June 9, 2012

Cuti-cuti Malaysia : Kompleks Sejarah Pasir Salak


Kompleks Sejarah Pasir Salak

Kompleks Sejarah Pasir Salak ini adalah salah satu destinasi pelancongan di Negeri Perak Darul Ridzuan. Kompleks Sejarah Pasir Salak ini terletak di kawasan Kg. Gajah, Daerah Perah Tengah. 

Konsep asal penubuhannya merupakan satu bentuk rakaman sejarah yang memperingati kita betapa pentingnya peristiwa berdarah Pasir Salak yang dianggap sebagai asas permulaan sistem demokrasi berparlimen bagi negara Malaysia. Kompleks Sejarah Pasir Salak juga akan dijadikan sebagai sebuah pusat yang menyediakan sumber-sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak Darul Ridzuan yang bermanfaat kepada masyarakat seluruhnya.


Pembinaan Kompleks Sejarah Pasir Salak ini juga bertujuan untuk memperingati generasi-generasi muda akan peristiwa Pasir Salak pada tahun 1875 yang merupakan kemuncak dalam gerakan orang Melayu menentang penjajah Inggeris di Perak serta memperingati akan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan maruah bangsa dan negara. Di samping dengan ciri-ciri sejarah kompleks ini juga sebagai bertujuan untuk pengumpulan bahan-bahan sejarah yang ada di Kompleks Sejarah Pasir Salak ini, pastinya juga menjadi salah satu daya tarikan pelancong untuk mengunjunginya.


Terowong Sejarah
Terowong Sejarah Kompleks Sejarah Pasir Salak merupakan sebuah bangunan muzium yang utama didirikan di kompleks ini. Bangunan yang panjangnya 157 kaki x 115 kaki lebar ini memuatkan 42 diorama-diorama episod sejarah perjuangan patriotisma dan nasionalisma anak watan Negeri Perak khususnya dan hubungkaitnya dengan perkembangan sejarah Malaysia amnya. Dalam perkembangan sejarah negara, diorama-diorama ini bermula dengan episod senario penempatan awal Kuala Selinsing, Perak yang wujud pada tahun 200 sebelum masihi hingga 1000 masihi.Kemudian diikuti dengan kemunculan Nila Pahlawan, Sang Nila Utama dan Krishna Pandita di Bukit Siguntang yang mana keturunan ini menjadi Raja di Temasik ( Singapura ), Pengasas Kesultanan Melaka dan Perak. Seterusnya diorama ini menceritakan mengenai bagaimana Malaysia menghadapi kuasa penjajah Portugis, Belanda, British, Jepun dan British sekali lagi, episod perjuangan penentangan serta pencapaian kemerdekaan. Puncak perjuangan patriotisma ditunjukkan dalam diorama life size seperti episod Perjanjian Pangkor dan pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British yang pertama di Negeri Perak. 

Dalam perkembangan perjuangan sejarah Malaysia yang bersepadu ini, setiap negeri-negeri di Malaysia telah terlibat dalam perjuangan patriotisma dan nasionalisma . Episod-episod ini ditunjukkan juga di dalam 13 diorama yang terakhir di dalam Terowong Sejarah Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Di bahagian tinggat bawah terowong sejarah ini memaparkan sejata melayu iaitu keris. Keris melayu adalah antara barangan yang dijadikan bahan pameran untuk para pelancong dan pengunjung yang hadir. Selain itu, pelbagai lagi barangan disediakan untuk dijadikan barangan pameran.


Bagi pengunjung yang ingin bermalam di sekitar kompleks itu, bolehlah menginap di Pasir Salak Resort yang terletak  bersebelahan Kompleks Sejarah Pasir Salak.  Pasir Salak Resort yang terletak di tepi sungai perak ini menawarkan 50 chalet yang cukup indah untuk para pengunjung. Pengunjung berpeluang melihat keindahan Sungai Perak di samping menyaksikan matahari matahari terbit dan terbenam dari ruang balkoni chalet



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...