TEMPAHAN BANNER & STREAMER

Tempahan Trophy & Medal

Friday, May 10, 2013

Datuk Mukhriz Mahathir Menteri Besar Kedah ke-10


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz Mahathir secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di Istana Anak Bukit pada 6 Mei 2013 lalu. Mukhriz, 49, yang merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas merdeka, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Pemilihan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10 itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berlangsung Ahad. BN menang dengan majoriti mudah selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu PAS yang sebelum ini mentadbir kerajaan negeri selepas PRU 2008 hanya berjaya memenangi sembilan kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing memperoleh empat dan dua kerusi. Bagi kerusi Parlimen, BN menang di 10 daripada 15 kerusi sementara PAS mendapat satu kerusi dan PKR mendapat empat kerusi. Pada PRU 2008, Mukhriz menang buat kali pertama di kerusi Parlimen Jerlun dan diangkat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009.
Pada PRU13, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz  Mahathir (BN) meraih 13,165 undi menewaskan Abdul Ghani Ahmad (PAS) 11,024 dengan majoriti 2,141 undi.


"Alhamdulillah majlis pelantikan Menteri Besar Kedah berjalan lancar. Watikah pelantikan telah diserahkan kepada Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan mendapat perkenan Tunku Bendahara (Tunku Annuar). "Saya bersedia untuk menggalas cabaran sebaik mungkin," katanya

Pihak Komuniti Cyber Kuala Nerang mengucapkan tahniah buat Datuk Mukriz Mahathir di atas perlantikan sebagai Menteri Besar Kedah . Harapan kami rakyat Padang Terap/Kuala Nerang semoga Datuk Mukriz dapat menunaikan tanggungjawab dan Amanah Rakyat sebaik mungkin seterusnya bagi menggalas harapan dan cabaran mendatang.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...